Rafiqah Dahali


Papar: Parti Liberal Demokratik (LDP) akan mengurangkan jawatan serta kementerian yang tidak perlu bagi sekiranya diberi peluang menerajui kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden Kehormat Seumur Hidup, Tan Sri Chong Kah Kiat berkata, ini adalah bagi memastikan duit rakyat tidak dibazirkan untuk jawatan dan kementerian yang tidak memberikan apa-apa fungsi dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita akan memastikan duit rakyat tidak dibazirkan untuk jawatan tidak perlu seperti pembantu menteri, setiausaha politik dan timbalan ketua menteri selain menghapuskan kementerian yang menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan seperti pendidikan, undang-undang dan kesihatan.

"Kita melihat kerajaan sekarang misalnya ada Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah serta Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, kementerian ini ada dua pembantu menteri untuk setiap menteri tapi tidak mempunyai kuasa serta peranan langsung.

"Selain itu, kementerian yang berkaitan pendidikan contohnya, mengikut Perlembagaan ia sebenarnya tanggungjawab kerajaan Persekutuan bukan tanggungjawab kita (kerajaan negeri).

"Jadi kenapa kita mahu tubuh satu kementerian berkaitan pendidikan yang mana menteri dari kementerian itu tidak tidak ada kuasa langsung?

"Jabatan berkaitan pendidikan di Sabah juga tidak akan terima arahan dari menteri itu melainkan hanya dari Menteri Pendidikan di peringkat Persekutuan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sesi Santai Bersama Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP bertempat di Kampung Sungai Padang, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu turut berkata isu pembinaan Empangan Papar juga akan menjadi keutamaan sekiranya diberi peluang membentuk kerajaan negeri.

Presiden Kehormat Seumur Hidup, Tan Sri Chong Kah Kiat.
Presiden Kehormat Seumur Hidup, Tan Sri Chong Kah Kiat.

"Kita akan membatalkan pembinaan Empangan Papar dan mewujudkan lebih banyak takungan air dan menaik taraf semua takungan sedia ada bagi mengatasi masalah banjir besar.

"Kita tidak akan teruskan kerana kita ada cara lain bagaimana kita boleh memperolehi sumber air yang mencukupi kerana masalah kita hari ini bukan memerlukan empangan tetapi kita perlu mengatasi masalah iir tidak terhasil (non revenue water).

"Air yang hilang adalah sebanyak lebih 50 produksi yang tidak masuk akal sama ada menerusi penyambungan air haram secara besar-besaran atau paip yang mempunyai kualiti tidak bagus, bocor sana sini dan sebagainya.

"Sekiranya tidak ada komitmen dari kerajaan terdahulu, kami akan teruskan dan membaiki infrastruktur, itu yang penting terutamanya air," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinannya memilih calon muda bagi menghadapi PRN Sabah demi masa depan Sabah yang lebih baik.

"Calon yang saya pilih adalah calon yang saya cari dan temui sendiri serta mereka tidak mempunyai latar belakang yang kotor.

"Saya melihat sendiri semua calon ini dan mereka tidak mempunyai sikap tamak dan mempunyai visi tersendiri untuk kawasan masing-masing," katanya.

Chong juga turut mengulas apabila terdapat khabar angin yang mengatakan LDP dibiayai Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN kali ini.

"Kita mahu ubah budaya politik Sabah dan parti yang suka menggunakan wang. Kita adalah parti bermaruah dan mempunyai prinsip.

"LDP bertanding tanpa budaya wang dan kita juga bukanlah sebuah parti yang senang diatur dengan wang. Jangan fikir kalau ada wang akan menjadi raja," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 3:49 PM