IBU tunggal muda, Noor Shaherah membesarkan tiga anaknya sendiri sejak suami meninggal dunia, 11 tahun lalu. FOTO Ihsan Noor Shaherah
IBU tunggal muda, Noor Shaherah membesarkan tiga anaknya sendiri sejak suami meninggal dunia, 11 tahun lalu. FOTO Ihsan Noor Shaherah
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Usianya ketika itu baru mencecah 20 tahun namun Noor Shaherah Mohd Sanim, 31, terpaksa menerima hakikat bergelar ibu tunggal muda selain menggalas tugas membesarkan tiga anak lelaki berusia 11, 13 dan 15 tahun.

Dugaan itu dilalui selepas suami, Sodikin Sazuwan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 2009.

Lebih menyedihkan apabila Noor Shaherah yang kini menetap di Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras bergantung pada duit bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menyara anak susulan dibuang kerja.

Berkongsi pengalamannya bergelar ibu tunggal di usia muda, Noor Shaherah memaklumkan dia berkahwin pada tahun 2004 iaitu ketika usianya baru mencecah 15 tahun.

"Biarpun usia kami sebaya, arwah suami nampak matang dan tidak kekok menguruskan anak mungkin kerana dia mempunyai ramai adik beradik jadi sudah terbiasa menguruskan keperluan bayi.

"Namun suami 'meninggalkan' kami empat beranak ketika usianya 20 tahun," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Noor Shaherah, dia mengambil masa setahun untuk melupakan kesedihan akibat kehilangan suaminya sebelum bangkit meneruskan hidup.

"Memang tidak mudah untuk lupakan kesedihan tetapi saya reda dengan pemergiannya kerana memikirkan anak-anak yang masih kecil ketika itu.

"Alhamdulillah, ramai yang beri sumbangan untuk membantu. Syukur rezeki saya tidak putus selepas diuji dengan kehilangan suami.

"Jika terus bersedih, bagaimana mahu membesarkan anak, Razwil ,11, Razuwan,13 dan Rizuwan, 15," katanya.

Menurut Noor Shaherah, lebih 10 lelaki pernah melamarnya sebagai isteri namun dia menolak dengan baik kerana mahu fokus membesarkan anak-anak.

Katanya, pelbagai kerja pernah dilakukan bermula dengan secara sambilan dan terakhir bekerja di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini sebelum diberhentikan majikan kesan Covid-19 tiga bulan lalu.

"Buat masa ini, saya gunakan duit bantuan daripada Perkeso untuk menyara anak selain wang simpanan sementara sementara mendapatkan pekerjaan baru," katanya.

Di sebalik cabaran dilalui, Noor Shaherah tidak dapat lari daripada salah faham masyarakat setiap kali keluar bersama tiga anak lelakinya.

"Kebiasaannya, segelintir orang akan menganggap saya membawa adik keluar berjalan. Hakikatnya, mereka semua adalah anak saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 6:21 PM