Tiga penunggang motosikal yang ditahan pasukan JSPT di Temerloh hari ini. Foto Ihsan PDRM
Tiga penunggang motosikal yang ditahan pasukan JSPT di Temerloh hari ini. Foto Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hasrat empat mat rempit untuk menikmati ikan patin di sebuah restoran selepas berlumba haram di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) terbantut apabila mereka ditahan polis hari ini.

Kesemua penunggang lelaki berusia 21 hingga 34 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sebaik berhenti di sebuah restoran di Kampung Bangau, Temerloh pada 12.20 tengah hari.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sebelum itu pasukan polis membuat pemantauan di LPT arah timur dan melihat empat motosikal bersaing sesama sendiri.

"Mereka melakukan pelbagai aksi antaranya meluruskan kaki ke belakang (superman), zig-zag dan menundukkan badan bermula dari Kilometer (KM) 99.7 sehingga KM102.1 LPT.

"Aksi dilakukan itu amat merbahaya kepada penunggang dan pengguna lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, suspek kemudiannya memberhentikan motosikal di sebuah restoran sebelum anggota menghampiri mereka dan membuat tangkapan.

"Pemeriksaan terhadap motosikal suspek mendapati nombor pendaftaran ditanggalkan dan ditutup bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa.

"Dua motosikal turut dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 9:03 PM