NANCY menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Standard Pelancongan ASEAN Tahun 2020-2022 di Hotel Sheraton Petaling Jaya. FOTO GENESV GULITAH
NANCY menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Standard Pelancongan ASEAN Tahun 2020-2022 di Hotel Sheraton Petaling Jaya. FOTO GENESV GULITAH
BERNAMA

Petaling Jaya: Penggiat industri pelancongan dan kebudayaan dalam negara disaran memanfaatkan sepenuhnya pengunaan laman sesawang khas Tourism Malaysia untuk mempromosi tawaran dan pakej pelancongan tempatan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata sejak diperkenalkan Jun lalu, sejumlah 103 tawaran dan 107 pakej menarik pelancongan domestik dipromosi melalui laman sesawang www.malaysia.travel itu.

"Saya harap penggiat industri pelancongan dan kebudayaan mengambil peluang dan manfaatkan laman sesawang ini sebagai platform merancakkan lagi sektor pelancongan domestik," katanya berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Standard Pelancongan ASEAN Peringkat Kebangsaan Tahun 2020–2022 di sini, hari ini.

Terdahulu, MOTAC memberi pengiktirafan kepada 42 pengusaha industri pelancongan yang memenuhi syarat standard Asean bagi tahun 2020-2022.

Dalam pada itu, Nancy turut berharap semua penerima terus mengamalkan Standard Pelancongan ASEAN setiap masa sebagai nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan sedia ada.

"Saya yakin dan percaya, faktor penarikan pelancong pada masa ini lebih menitikberatkan soal kualiti produk atau perkhidmatan… oleh itu pengusaha industri perlu mengukuhkan lagi 'delivery services' dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:58 PM