GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu lagi kluster baharu dikenal pasti Kluster Udin yang dilaporkan di Tawau, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-9,894) adalah seorang wanita warganegara Malaysia berusia 72 tahun.

Menurutnya, kes indeks dikesan positif Covid-19 hasil saringan warga emas yang dijalankan di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 September lalu.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan dua lagi dikesan positif Covid-19 semalam.

"Kedua-dua kes positif ini membabitkan warga Filipina. Mereka tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 128 individu sudah disaring dengan tiga daripadanya positif, 71 negatif dan 54 menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan dijalankan di lokasi terbabit.

"Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 6:01 PM