MOHD Nizar. FOTO Arkib NSTP
MOHD Nizar. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria menegaskan tidak tahu menahu bagaimana namanya boleh dikaitkan sebagai menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baharu seperti mana laporan sebuah portal yang tular di media sosial.

Beliau berkata, ia tidak berasas sama sekali dan bertujuan memecah-belahkan kerjasama di dalam Muafakat Nasional (MN) yang sudah terbina sebelum ini.

"Saya tidak terbabit dengan sebarang kerjasama membentuk kerajaan baharu ini. Sudah dua kali nama saya dikaitkan sedangkan saya tidak tahu apa-apa.

"Seperti mana reaksi awal, saya ingin katakan ia hanyalah bertujuan memporak-perandakan hubungan baik sedia ada dan sindrom September yang dihadapi Anwar," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Nizar berkata, ia mungkin berkaitan dengan senario politik semasa dan cubaan untuk mengambil kesempatan dengan menghentam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beberapa nama ahli parlimen dikaitkan sebagai menyokong Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu, ia termasuk Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh yang menafikan perkara itu awal hari ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid juga membuat penafian dirinya terbabit menyokong gerakan berkenaan.

Terdahulu sebuah portal menyenaraikan 19 Ahli Parlimen Umno antaranya Datuk Seri Tajudin Rahman (Pasir Salak), Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling).

Selain itu nama Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut tersenarai didakwa menyokong Anwar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:48 PM