ABDUL Ghani. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Ghani. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 10 aduan dan satu tangkapan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan sogokan wang ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa SPRM untuk menyiasat dan membuktikan dakwaan itu benar berlaku.

"Bagi proses pilihan raya kita akan teruskan sehingga selesai.

"Jika benar (dakwaan) ini akan dibawa ke peringkat seterusnya dengan bukti dan dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam temubual eksklusif disiarkan secara langsung di Facebook Harian Metro dan Berita Harian, hari ini.

Abdul Ghani berkata, sekiranya individu berkenaan didapati bersalah, SPR akan mengadakan pilihan raya semula.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang semakin meruncing di Sabah, pihaknya mensasarkan 70 hingga 75 peratus pengundi akan keluar untuk mengundi esok.

"Kalau kita lihat daripada trend pengundian awal kita sasar 75 peratus pengundi, tetapi kita terima 76 peratus.

"Harapan kita untuk esok memang target (sasaran) awal 75 peratus, tetapi melihat keadaan semasa (di Sabah) saya anggarkan 70 hingga 75 peratus disebabkan keadaan wabak (Covid-19) ini agak meningkat," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Salleh memberi jaminan keselamatan pengundi esok akan diberi keutamaan oleh SPR.

"Jangan risau, kita menyediakan kemudahan di tempat mengundi dan bagi mereka yang positif pun kita ada kemudahan tersendiri diuruskan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pengundi di Sabah supaya mematuhi arahan petugas sepanjang proses pengundian berlangsung.

"Selamat mengundi kepada semua warga Sabah esok, saya mahu tuan dan puan balik dalam keadaan selamat serta sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan petugas.

"Saya juga merayu pengundi jika boleh datang mengundi dalam waktu yang dicadangkan kepada mereka bagi mengelak kesesakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:47 PM