DUA botol dadah jenis heroin yang dirampas daripada seorang penunggang motosikal ketika ditahan di hadapan Balai Polis Kok Lanas, di sini. FOTO ihsan POLIS
DUA botol dadah jenis heroin yang dirampas daripada seorang penunggang motosikal ketika ditahan di hadapan Balai Polis Kok Lanas, di sini. FOTO ihsan POLIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kelakuan mencurigakan seorang lelaki membawa kepada penemuan dua botol dipercayai mengandungi heroin yang disorokkan dalam genggaman tangan kirinya.

Buruh berusia 29 tahun dari Kampung Limbat itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan di hadapan Balai Polis Kok Lanas, di sini, pada 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek ditahan anggota trafik selepas melihat mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan.

"Anggota kami ternampak suspek memegang sesuatu di tangan kiri sebelum mengarahkannya menunjukkan bungkusan yang dibalut dengan surat khabar itu.

"Surat khabar yang dibalut dengan pita pelekat itu rupanya dua botol plastik putih berisi serbuk putih disyaki heroin seberat 10.23 gram dianggarkan bernilai RM4,000," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam operasi sama, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap 152 motosikal membabitkan 163 individu termasuk 19 wanita.

Abdul Rahim berkata, sebanyak 118 saman dikeluarkan dengan kesalahan paling tinggi membabitkan plat kenderaan diikuti tiada lesen memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 4:45 PM