MOHAMED AZMIN. FOTO NSTP
MOHAMED AZMIN. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) malam tadi, jelas membuktikan rakyat Sabah memilih pengukuhan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu menyaksikan kematangan rakyat Sabah menjunjung semangat federalisme demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, mandat yang diberikan rakyat Sabah jelas membuktikan rakyat memilih sebuah kerajaan negeri yang prihatin, inklusif dan menjamin kedaulatan negeri serta keselamatan rakyat.

"Keputusan ini juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta muafakat dan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan GRS.

"Dengan penuh rasa tawaduk, PN akan menggalas mandat ini dengan tekad dan iltizam untuk menjana usaha pembangunan serta mencerdaskan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

"Selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama, negeri dan rakyat Sabah akan menikmati pembangunan yang inklusif, saksama dan berkualiti," katanya dalam kenyataan ,hari ini.

Beliau berkata, kemenangan ini pastinya akan menyemarakkan lagi kerjasama yang lebih utuh dalam PN untuk menggembeleng dukungan rakyat di seluruh negara sekali gus membangun sebuah negara bangsa yang bermaruah dan bersatu padu.

Keputusan terkini MyUndiKlik di sini untuk berita lanjut

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 10:13 AM