KEADAAN rumah Zakaria yang musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai, Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
KEADAAN rumah Zakaria yang musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai, Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: Tiga sekeluarga yang kehilangan rumah akibat kebakaran di Kampung Seberang Perai, Sungai Petai, di sini pada awal bulan ini, tidak ada pilihan selain menumpang di kediaman Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) anggota keluarga mereka.

Meskipun terpaksa tinggal dalam kediaman sempit, Zakaria Abdul Rahman, 57, dan adiknya, Moktar, 56, serta ibu mereka Ramlah Lisut, 72, terpaksa mengharapkan ihsan adik bongsu mereka, Abdul Malek, 53, yang menghuni rumah itu bersama isteri dan empat anak berusia antara 18 hingga 24 tahun.

Zakaria berkata, beliau dan Mokhtar yang masih bujang tidak mampu membina kediaman baharu kerana sekadar bekerja kampung seperti mengambil upah membersihkan kebun, bertukang dan seumpamanya.

"Selepas berhenti kerja kilang dua tahun lalu, saya sempat membuat pembaikan rumah peninggalan bapa, tetapi semuanya musnah dalam kebakaran itu.

"Kami tiga beranak terpaksa mengharapkan ihsan Abdul Malek untuk meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan kerana dia hanya bekerja kampung manakala empat anaknya bekerja kilang," katanya selepas menerima sumbangan RM3,000 daripada Penghulu Dewan Undangan Negeri (Dun) Rembia, Ali Hassan Ahmad Shamsuddin di tapak kejadian, hari ini.

Sumbangan berkenaan diberikan menerusi Tabung Bencana Alam kerajaan negeri bagi membantu keluarga terbabit meneruskan kehidupan.

Zakaria berkata, beliau sekeluarga amat berharap kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan mendapatkan rumah baharu di tapak sama, sekali gus meringankan beban Abdul Malek dan anggota keluarganya yang sudi berkongsi kesukaran itu.

Katanya, jika diharapkan pada pendapatannya dan Mokhtar, tidak mungkin rumah baharu mampu dibina dan mereka berdoa ada pihak sudi menghulurkan bantuan.

Dalam kejadian 6.45 petang, 9 September lalu, Zakaria dan ibunya yang sedang melayan dua tetamu terkejut apabila melihat api dari bilik Mokhtar dan cuba memadamkannya.

Bagaimanapun, api merebak dengan cepat berikutan rumah itu diperbuat daripada papan dan dalam tempoh 30 minit, keseluruhan kediaman berkenaan hangus.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zakaria dengan menelefon 011 16386982.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 12:02 PM