GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Gelandangan transit iaitu mereka yang bekerja dan tidak dapat masuk semula ke Singapura adalah kelompok terbesar yang berlegar di kawasan bandaraya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd Izhar Ahmad berkata kini terdapat lebih 1,000 gelandangan dan 50 peratus daripada jumlah itu adalah gelandangan transit iaitu golongan yang masih menunggu panggilan untuk masuk semula bekerja di Singapura.

Katanya kesemua mereka akan ditempatkan di pusat gelandangan khusus yang disediakan kerajaan negeri.

"Kelompok besar adalah kategori transit yang mana mereka bekerja di Singapura, tidak dapat masuk (akibat pandemik Covid-19) dan berlegar di kawasan Bandaraya ini, golongan ini 50 peratus.

IZHAR (tengah) bersama Nor Ifuan (kiri) serta Abdul Aziz Jameran merasmikan simbolik pelancaran  Hari Kesihatan Ranhill SAJ di Ranhill SAJ, Larkin, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
IZHAR (tengah) bersama Nor Ifuan (kiri) serta Abdul Aziz Jameran merasmikan simbolik pelancaran Hari Kesihatan Ranhill SAJ di Ranhill SAJ, Larkin, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

"30 peratus lagi gelandangan adalah dikalangan penagih, 20 peratus pula yang mempunyai masalah rumah tangga serta perceraian.

"Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Sumber Manusia Modal Insan, Job Malaysia, gelandangan akan melalui proses pemadanan dan pencarian kerja.

"Kita mahu kumpulkan mereka dan tempatkan satu lokasi, selepas itu kita lihat kemampuan setiap individu itu dan akan masukkan dalam program 'upskilling' (peningkatan kemahiran), 'reskiling' (pengambilan semula) untuk pemadanan kerja dengan apa-apa jawatan yang relevan untuk diisikan," katanya pada sidang Hari Kesihatan Ranhill SAJ di SAJ Larkin di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Izhar memaklumkan kerajaan negeri sedang merangka bajet yang menyasarkan bantuan kepada rakyat, usahawan dan pelabur dalam.

"Matlamatnya adalah bertujuan untuk meningkatkan semula ekonomi negeri secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 3:08 PM