ANAK yatim sekitar Port Dickson dibawa menaiki kapal  dan belayar selama dua jam disekitar perairan Port Dickson. FOTO Abnor Hamizam
ANAK yatim sekitar Port Dickson dibawa menaiki kapal dan belayar selama dua jam disekitar perairan Port Dickson. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


Port Dickson: Peluang untuk merasai pengalaman menaiki dan belayar dengan kapal persiaran di perairan Port Dickson adalah kenangan paling indah buat Muhammad Hadhari Hassan, 15.

Dia adalah antara 10 anak yatim yang diberi peluang belayar dengan kapal persiaran selama dua jam di sekitar perairan Port Dickson, semalam.

Program dianjurkan sebuah syarikat itu bertujuan memberi peluang kepada anak yatim berkenaan menaiki kapal persiaran buat pertama kali sekaligus memenuhi impian mereka.

Muhammad Hadhari dari Taman Intan Perdana, Port Dickson ketika ditemui berkata dia begitu teruja apabila diberi peluang merasai pelayaran dengan kapal persiaran berkenaan.

"Memang saya tinggal di sini dan biasa mandi laut namun bukan semua orang mampu menaiki kapal ini. Oleh itu saya rasa bersyukur kerana dipilih mengikuti pelayaran biarpun hanya di sekitar perairan Port Dickson.

"Sejak dimaklumkan oleh pihak berkaitan yang saya dipilih menaiki kapal Dickson Dragon Cruise , saya menjadi teruja dan tidak sabar menantikan peluang diberi," katanya kepada Harian Metro.

Nurul Farhan Norzahaar, 14, pula berkata bahawa peluang belayar selama dua jam itu dirasakan singkat buat dirinya yang pertama kali berpeluang menaiki kapal layar.

Menurutnya, dia seronok menaiki kapal berkenaan selain menikmati juadah yang disediakan diatas kapal berkenaan.

Sementara itu Pengarah Urusan Norakay Collagen House Norazlinda Ibrahim berkata pihaknya memberi peluang kepada anak yatim terbabit menaiki kapal persiaran berkenaan.

"Ia adalah sebahagian program tanggungjawab sosial syarikat bagi memastikan golongan berkenaan turut diberi peluang menikmati kegembiraan.

"Selain itu kita turut memberi sumbangan wang tunai dan barang keperluan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 4:01 PM