Hamzah Osman


Langkawi: Cubaan dua lelaki untuk menyeludup 56.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM11.3 juta gagal selepas dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Kemarong di sini.

Mereka berjaya dikesan pada 1 pagi Jumaat lalu, namun kedua-duanya bertindak terjun laut untuk melarikan diri.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, dadah berkenan disorokkan dalam paket teh Cina yang diisi ke dalam dua bagasi yang disembur cat hitam.

"Terdahulu, pergerakan bot kayu itu yang dalam keadaan mencurigakan dikesan oleh Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Langkawi, sebelum bot Kilat APMM diarah melakukan siasatan.

"Menyedari kehadiran anggota, suspek memecut laju botnya dan dikejar bot Kilat selama 40 minit sebelum dipintas," katanya pada sidang media di pangkalan Maritim Malaysia di Bukit Malut di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, pemeriksaan menemui 51 ketulan dadah syabu seberat 56.5 kg yang dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran Indonesia, namun Langkawi sebagai tempat transit.

MOHD Zawawi (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan syabu yang dibungkus dalam plastik teh dalam sidang media, hari ini. FOTO Hamzah Osman.
MOHD Zawawi (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan syabu yang dibungkus dalam plastik teh dalam sidang media, hari ini. FOTO Hamzah Osman.

"Ini rampasan dadah kedua APMM dalam tempoh dua bulan berturut-turut, selepas kali pertama membabitkan ganja seberat 537 kg pada 31 Ogos lalu.

"Operasi mengesan dua suspek masih berlangsung dan kita belum menemui sebarang petunjuk," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 4:07 PM