ANIFAH. FOTO arkib NSTP
ANIFAH. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menerima kekalahan pihaknya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung semalam dengan hati terbuka.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya bangga terhadap golongan orang muda yang turun mengundi dalam PRN.

"Walaupun kemenangan tidak berpihak kepada PCS, namun kami tetap berbangga dengan semua yang menjalankan tanggungjawab sebagai anak Sabah dengan mengundi.

"Anak-anak Sabah sudah bersuara, dan suara itu kami terima dengan rasa rendah hati dan kami hormati.

"Namun, jangan lupa kami hanya sebuah parti yang sangat baru, tidak sampai dua bulan dan masih mendapat sokongan dalam bentuk undi walaupun tidak menang.

"Cuba bayangkan kalau ada masa persediaan yang cukup, saya percaya PCS mampu meraihkan lebih sokongan," katanya.

Anifah turut menyatakan harapannya agar golongan orang muda di Sabah tidak berhenti berjuang untuk menuntut hak terutamanya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

"Saya sebagai Presiden PCS berharap walau apa pun terjadi, jangan berhenti daripada terus memperjuangkan hak kita sebagai orang Sabah.

"Kepada semua calon PCS, ambil iktibar daripada pengalaman PRN ini sebagai pengajaran untuk kita bersedia berdepan dengan cabaran pilihan raya masa depan.

"Pengalaman seperti ini adalah sangat penting untuk kita menilai kekurangan dan juga kekuatan kita," katanya.

Semalam, media melaporkan PCS kalah di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam PRN Sabah.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 5:03 PM