Nor Amalina Alias


Bachok: Penanam jagung di daerah ini 'berputih mata' selepas berdepan kerugian lebih RM100,000 akibat tanaman mereka rosak diserang Fall Army Worm (FAW).

Penanam, Mohamed Noor Awang Hamat, 72, berkata, dia menyedari kemusnahan tanaman diusahakan bersama tiga rakan ketika mahu menuai hasil, dua minggu lalu.

Katanya, ulat berkenaan menyerang pucuk, batang dan buah jagung menyebabkan hanya 30 peratus jagung berjaya dikutip membabitkan kawasan tanaman seluas 4.8 hektar.

"Sejak 20 tahun menanam jagung, ini pertama kali berlaku, jagung menjadi rosak dimakan ulat dan langsung tidak boleh dijual.

"Kalau ikutkan sepatutnya kami dapat tuai 18,000 batang jagung yang ditanam. Nak meracun pula tak boleh sebab jagung sudah masuk peringkat tuai dan nak jadi makanan," katanya ketika ditemui ladang jagungnya di Kampung Sungai, di sini, hari ini.

Katanya, selain menyebabkan buah jagung rosak, serangan serangga itu turut menyebabkan batang pohon mereput dan biji jagung timbul kulat.

Dalam pada itu, rakan kongsinya, Datuk Mohd Adnan Mohd Zin berkata, kebiasaannya dia akan mengambil bekalan jagung daripada Mohamed, namun terkejut apabila dimaklumkan serangan ulat terbabit.

Katanya, tahun ini adalah kali pertama dia menyertai tanaman jagung itu dengan kos RM60,000 kerana sebelum ini hanya bertindak sebagai pembeli saja.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria turut melawat kawasan jagung yang terjejas.

Katanya, setakat ini pihak menerima aduan serangan ulat FAW di lima daerah di negeri ini termasuk Bachok, Jeli, Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah.

PENANAM jagung menunjukkan buah yang rosak selepas diserang FAW. FOTO Nor Amalina Alias
PENANAM jagung menunjukkan buah yang rosak selepas diserang FAW. FOTO Nor Amalina Alias

"Difahamkan ulat FAW ini berasal dari Afrika Selatan dan merebak ke Thailand sebelum menjangkiti tanaman di negara kita.

"Serangga ini tersebar sebagai rama-rama dan bertelur pada jagung, selain jagung terdapat 80 lagi tanaman yang menjadi perumah serangga ini.

"Kita sedang mengumpul maklumat penuh jumlah keluasan tanaman dan kerugian sekali gus mencari jalan menangani penyakit ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:03 PM