NOTIS penutupan masjid di Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat.
NOTIS penutupan masjid di Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Empat masjid di daerah ini diarahkan tutup sementara susulan seorang jemaah di kawasan itu dijangkiti Covid-19.

Empat masjid terbabit ialah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap, Masjid Othman Ibnu Affan Bukit Rangin, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid al-Hidayah Paya Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, penutupan empat masjid berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Task Force Jumaat lalu yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Menurutnya, pada mesyuarat itu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) diminta untuk meneliti keperluan untuk mengarahkan masjid sekitar rumah individu yang disahkan positif Covid-19 tidak mengadakan solat Jumaat dan ditutup sementara.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelak berlaku penularan atau jangkitan kes kerana berada bersama individu yang positif Covid-19 di sekitar kawasan terbabit.

"Walaupun berat keputusan itu, namun demi keselamatan masyarakat setempat kerajaan terpaksa mengambil langkah pencegahan awal supaya ia tidak menjangkiti dan merebak pada pihak lain.

"Saya berharap masyarakat tidak terlalu cemas berikutan terdapat kes Covid-19 di daerah ini dan Jerantut kerana KKM serta agensi berkaitan sudah mengambil langkah pencegahan seperti yang ditetapkan," katanya dihubungi di sini hari ini.

Norolazali berkata, masyarakat diingatkan supaya terus mengamalkan normal baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, menjaga kebersihan dan tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai.

Sementara itu Pengerusi MSAS Sungai Isap, Dr Sharafuddin Aisa Osman berkata, penutupan sementara MSAS dibuat selepas mendapat arahan daripada Pejabat Kadi Daerah Kuantan, Jumaat lalu.

Katanya, solat fardu dan Jumaat serta semua bentuk aktiviti keagamaan ditangguhkan sehingga mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Saya berharap masyarakat setempat dapat bersabar seterusnya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan dan kesihatan diri sendiri, keluarga serta individu lain.

"Difahamkan, setakat ini tiada sebarang jangkitan dilaporkan berlaku dan penutupan sementara masjid dilakukan bagi mengelakkan aktiviti secara berkumpulan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 9:09 AM