LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Belum sempat membantu rakan yang diseret kenderaan penyeludup, kereta saya pula dirempuh dari belakang oleh sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) Isuzu Trooper," kata anggota Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) mengenai insiden yang berlaku pada pagi Jumaat lalu.

Anggota cawangan risik yang ingin dikenali sebagai Azmi, 32 berkata, tidak dinafikan dia agak panik ketika melihat rakannya diseret, namun perasaan ingin mengejar kenderaan itu terbantut kerana kereta Proton Wira yang dipandunya dirempuh Isuzu Trooper milik seorang lagi penyeludup.

"Ketika itu saya terus hanya memikirkan cara nak selamatkan dia (rakan) walau dengan apa cara sekalipun.

"Bagaimanapun secara tiba-tiba kereta yang saya pandu dihentam dengan kuat dari arah belakang sebelum pemandunya terus memecut kenderaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.

Azmi berkata, dengan keadaan belakang kereta yang rosak dan kemek, dia cuba memandu untuk mendapatkan rakannya.

Namun, katanya, dia menerima panggilan dari mangsa yang memaklumkan lokasinya selepas berjaya melepaskan diri termasuk melepaskan dua das tembakan ke tayar kenderaan penyeludup.

Dalam kejadian pada 4 pagi Jumaat lalu, anggota PGA7 berpangkat konstabel berusia 30 tahun itu diseret sejauh 100 meter oleh kenderaan dipandu penyeludup yang ditahan untuk pemeriksaan.

Terdahulu dua kenderaan dipandu penyeludup dikejar lebih lima kilometer bermula dari Kampung Limau Purut sehingga ke Lubok Stol, di sini sebelum berlaku insiden berkenaan.

Tiga suspek sudah ditahan dalam tangkapan berasingan namun polis masih mengesan dua lagi individu yang dikenali sebagai Mohamad Termizi Muhamad, 37 dan Muhamad Hafiz Sulaiman, 22, yang dipercayai ahli kumpulan penyeludup terbabit bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, insiden itu dipercayai berlaku akibat terdesak apabila penyeludup hilang punca pendapatan berikutan pihak berkuasa menjalankan operasi yang berterusan.

Beliau berkata, meskipun sering berdepan ancaman dan ugutan, namun kejadian itu dianggap melampaui batas sehingga menyebabkan nyawa penguat kuasa terancam.

"Hasil risikan mendapati banyak sindiket yang terbabit dengan kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand mengalami kerugian agak besar susulan tangkapan serta rampasan berterusan daripada pihak berkuasa terutamanya PGA.

"Kita akan mempergiatkan lagi operasi penguatkuasaan dan kawalan di sempadan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar serta menghalang tugas pasukan keselamatan.

"Bagaimanapun, keselamatan pegawai dan anggota yang bertugas juga perlu diutamakan malah pihak kami akan mengatur strategi yang efektif serta berhati-hati dalam menangani isu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan," katanya.

Berita berkaitan

Anggota PGA cedera diseret 100 meter [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 9:57 AM