GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Apas di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster itu membabitkan kes ke-10782 dan kes ke-10783 iaitu pasangan suami isteri yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 13 hingga 16 September lalu.

"Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk dan selesema pada 18 September lalu yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September lalu.

"Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September dan didapati positif Covid-19 pada 26 September sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif Covid-19 pada 27 September lalu.

"Sehingga kini, seramai 66 individu sudah disaring, lapan daripadanya dikesan positif Covid-19; 56 individu adalah negatif dan dua individu masih menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman sudah dijalankan di lokasi terbabit. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 7:36 PM