OSMAN MUDA
OSMAN MUDA
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima sumbangan wakaf kubur berjumlah RM1.7 juta dalam tempoh tujuh bulan selepas dilancarkan Februari lalu.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman Muda berkata, semua sumbangan itu akan digunakan sepenuhnya untuk kerja menaik taraf Tanah Perkuburan Islam di Paya Bunga, di sini.

Beliau berkata, kerja menimbun tanah seluas kira-kira 5.2 hektar fasa pertama yang bermula sejak Februari lalu kini siap 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya awal November depan.

"Sambutan Umat Islam untuk menyumbang kepada tabung wakaf kubur itu amat menggalakkan selepas pelancarannya dilakukan pada 26 Februari lalu.

"Projek pelaksanaan tanah perkuburan Islam itu adalah untuk menaik taraf supaya susun atur tapak kubur lebih sistematik dan mempunyai pengurusan baik," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Osman berkata, kubur itu akan ditambah baik agar kelihatan lebih tersusun dan menarik serta menjadi tanah perkuburan dalam taman.

Beliau berkata, apabila tanah perkuburan Islam dalam taman itu siap sepenuhnya, waris si mati boleh mendapatkan segala maklumat termasuk kedudukan kubur melalui kemudahan sistem e-Pusara yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 7:56 PM