PROSES sanitasi dilakukan di gerai makan dan masjid sekitar Jerantut. FOTO Roselan Ab Malek.
PROSES sanitasi dilakukan di gerai makan dan masjid sekitar Jerantut. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


Jerantut: Masjid, surau, tadika, gerai dan pusat rekreasi di beberapa kawasan di daerah ini ditutup selama 14 hari susulan penularan Covid-19 sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, Khairunnisa Aris berkata, Masjid Tengku Ahmad Jerantut (MTAJ) dan Surau Al-Muflihin, Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4 ditutup selama 14 hari.

Selain itu, katanya, semua tadika dan taska di PAKR Bandar Baru Jerantut dan PAKR Peringkat 3 dan 4 turut ditutup selama 14 hari.

"Tindakan ini diambil berikutan pengesanan empat kes positif Covid-19 iaitu satu di PAKR Bandar Baru Jerantut pada 25 September dan tiga kes di PAKR Peringkat 3 dan 4 kelmarin.

"Kami mengambil langkah proaktif ini bagi mencegah penularan dan memutuskan rantaian Covid-19 di daerah Jerantut," katanya.

Khairunnisa berkata, semua lokasi yang berkaitan pesakit Covid-19 sudah disanitasi pihak bomba, manakala gerai makan sepanjang jalan berdekatan PAKR peringkat 3 dan 4 diarah tutup.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan semua aktiviti pekan sehari dan pasar malam turut ditangguhkan selama 14 hari.

"Turut ditangguhkan semua penganjuran majlis keramaian, kenduri-kendara dan program berskala besar.

"Bagi kontak rapat kepada kes positif yang hadir ke sekolah sebelum pengesanan dibuat, kelas terbabit akan ditutup," katanya.

Selain itu, katanya, semua premis makanan bermasak di kawasan PAKR Bandar Baru Jerantut dan PAKR Peringkat 3 dan 4 hanya boleh menjual makanan dan minuman secara bungkus sahaja.

Pada masa sama, pusat riadah dan rekreasi di lokasi yang tidak dapat menjamin penjarakan fizikal di kawasan sekitar bandar Jerantut, tidak dibenarkan beroperasi termasuk Padang FA, Bukit Seladang, Bukit Panau, Bukit Merah, Via-Feratta Paya Gunung dan Taman Tasik Teratai.

"Bagi mengelakkan situasi panik, semua pihak diminta tidak menjadi ejen penularan maklumat tidak sahih atau palsu.

"Mereka yang menyebarkan maklumat palsu boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 [Akta 588]," katanya.

Kes pertama di Jerantut dikesan apabila seorang lelaki berusia 51 tahun ke Sabah bersama seorang anak dan saudara pada 19 September, sebelum kembali pada 6.30 petang, 21 September.

Terdahulu, lelaki itu bermalam di rumah anaknya di Dengkil, Selangor pada 21 September dan pulang ke Jerantut pada 22 September dan didapati positif pada 25 September.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 9:25 AM