GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Penduduk Pahang diminta tidak mudah panik dan percaya berita palsu yang tersebar mengenai Covid-19 di daerah ini dan Jerantut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, penularan jangkitan yang berlaku di dua daerah itu tidaklah serius.

"Memang betul ada kes Covid-19 tapi tidaklah serius. KKM dan agensi berkaitan sudah mengambil langkah segera bagi mengelak penularan dan pesakit diberi rawatan sepenuhnya.

"Saya menasihatkan masyarakat supaya tidak panik dan cemas. Agensi bertanggungjawab sudah bertindak untuk mengawal penularan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, minggu lalu kerajaan negeri turut memutuskan lima masjid di sini ditutup sementara termasuklah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap; Masjid Othman Ibnu Affan di Bukit Rangin dan Masjid Lama Permatang Badak.

"Penutupan itu hanyalah untuk memastikan tidak ada aktiviti secara berkumpulan," katanya.

Beliau juga menafikan sekolah dan bank juga ditutup selain masjid seperti yang tular di media sosial.

Norolazali meminta rakyat tidak berkongsi maklumat yang tidak sah dan boleh menimbulkan panik, sebaliknya terus mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 seperti memakai pelitup muka dan membasuh tangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 12:41 PM