BERNAMA

Sepang: Mahkamah Syariah selaku institusi kehakiman dan perundangan syariah yang mendukung syiar Islam, akan terus dipertahan serta diperkasakan dari semasa ke semasa, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan sentiasa melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah, perjawatan hakim syarie dan profesionalisme pegawai mahkamah.

Berucap merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN 2020) di sini, hari ini, Muhyiddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited dalam menyokong usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia.

"Penambahbaikan secara berterusan ini akan dapat melonjakkan imej institusi kehakiman dan Perundangan Syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya," katanya.

Muhyiddin berkata, penggunaan teknologi baharu wajib diberi keutamaan oleh pentadbiran Mahkamah Syariah kerana tanpa teknologi, pentadbiran sistem kehakiman Islam boleh terencat dan seterusnya menghalang pelaksanaan keadilan yang satu tuntutan agama.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat dan pentadbiran negara termasuk terhadap pentadbiran Mahkamah Syariah.

"Ini termasuk penutupan mahkamah yang memerlukan sistem kehakiman berfungsi dalam keadaan norma baharu seperti pelaksanaan urusan mahkamah menerusi sistem dalam talian," katanya.

Muhyiddin dalam pada itu berharap Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dapat mengambil inisiatif mewujudkan suatu forum yang berperanan sebagai medium pertukaran maklumat dan amalan terbaik institusi Kehakiman Syariah yang boleh dikongsi dengan negara serantau seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Melalui forum itu, katanya perbincangan ilmiah mengenai fungsi Maqasid Syariah di negara serantau dapat diadakan secara berterusan dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian.

MUHYIDDIN (tengah) menerima cenderahati daripada Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (kanan) dan turut disaksikan Dr Zulkifli. FOTO Luqman Hakim Zubir.
MUHYIDDIN (tengah) menerima cenderahati daripada Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (kanan) dan turut disaksikan Dr Zulkifli. FOTO Luqman Hakim Zubir.

PKPSN 2020 menghimpunkan 580 peserta antaranya, hakim mahkamah rayuan syariah, ketua hakim syarie negeri, hakim mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rendah syariah, ketua pendaftar, pendakwa syarie dan pegawai syariah. Peserta dari Brunei, Indonesia dan Singapura pula mengikuti persidangan itu secara dalam talian.

Persidangan bertemakan "Aplikasi Maqasid Al-Syar'iyyah: Ke Arah Pembudayaan Norma Baharu dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Syariah", turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 3:47 PM