MOHAMADDIN. FOTO arkib NSTP
MOHAMADDIN. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menerima 72 laporan setakat ini berkaitan kenyataan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 adalah sandiwara.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, daripada jumlah itu 49 laporan dibuat di Sabah manakala selebihnya lagi dibuat di Semenanjung.

Menurutnya, pihaknya akan memanggil Mohamaddin untuk memberi keterangan dalam masa terdekat di Bukit Aman bagi membantu siasatan.

"Kita akan panggil beliau bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Mohamaddin memohon maaf kepada seluruh anggota keselamatan berikutan video tular mempersendakan pasukan keselamatan.

Mohamaddin dilaporkan berkata, kenyataan yang diucapkan dalam video klip terbabit menimbulkan salah faham.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, beberapa tindakan lanjut dilakukan bagi melengkapkan siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

"Sebelum ini kita sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara sebelum dikembalikan semula untuk diambil beberapa tindakan lagi.

"Selepas ia dilengkapkan kita akan menyerahkan semula kertas siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 5:54 PM