Laporan Portal Harian Metro sebelum ini
Laporan Portal Harian Metro sebelum ini
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: "Tidak boleh bayangkan jika kerbau saya juga diserang penyakit hawar berdarah (HS) dan mati mengejut," kata Nadia Khairun Nisa Yusof, 18.

Nadia ditemui ketika program Pemberian Suntikan Pelalian atau Vaksin HS Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Nerus di kandang kerbau dan lembu milik keluarganya di Kampung Gemuroh, di sini, hari ini.

Harian Metro pada April 2017 pernah melaporkan mengenai minat luar biasa Nadia terhadap bidang penternakan sehingga dia tidak kekok bergelumang dengan najis haiwan ternakan.

Menurut Nadia, dia berasa lega selepas semua ternakannya termasuk tujuh daripada 60 kerbau dan 30 lembunya diberikan suntikan pelalian HS.

"Selepas ternakan divaksinkan baru saya berasa tenang, jika tidak sentiasa berada dalam keadaan bimbang sekiranya ternakan diserang HS.

"Saya tidak sanggup melihat tujuh kerbau kesayangan termasuk Awang, Putih, Coki-Coki, Jay 4 dan Mek Bunga diserang HS.

"Semua kerbau kesayangan itu dijaga sejak daripada kecil oleh itu akan berasa sangat sedih jika ternakan mati diserang penyakit," katanya.

Nadia berkata, kegiatan menguruskan ternakan sudah sebati dengan diri malah menjadi rutin hariannya.

"Sejak menguruskan ternakan itu, kes ternakan diserang penyakit HS atau penyakit lain tidak pernah berlaku oleh itu sentiasa memberi penekanan terhadap langkah penjagaan awal ternakan daripada dijangkiti penyakit," katanya.

Berita berkaitan:

  • Gadis kerbau
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 10:16 AM