Ladang durian.
Ladang durian.
BERNAMA

Raub: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 110 pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi Ops Durian selepas menggempur tiga kilang dan 11 kebun durian di sekitar kawasan Raub.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi empat siri operasi dilaksanakan bermula 13 Ogos lalu sehingga hari ini, warga Indonesia mencatatkan bilangan tahanan paling tinggi seramai 94 orang diikuti Myanmar seramai lapan orang dan masing-masing empat warga Bangladesh dan Pakistan.

"Kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa dengan menggunakan pas lawatan sosial diberikan kepada pelancong masuk ke Malaysia.

"Warga Indonesia paling ramai ditangkap di sini kerana mereka mempunyai kemahiran berkebun dan kami percaya masih ramai lagi Pati berjaya melarikan diri susulan operasi ini dan operasi ini tidak akan terhenti di sini," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Ops Durian yang dilaksanakan lebih 25 anggota jabatan itu di Sungai Ruan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara cabaran dilalui ketika operasi itu ialah kawasan kebun begitu luas, dianggarkan lebih 8,800 hektar selain pemilik kebun melatih anjing untuk menjaga kawasan mereka.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke depoh Kemayan, Teriang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya masih memburu beberapa individu terbabit dalam sindiket pemalsuan cap imigresen didalangi warga Indonesia sejak dua tahun lalu dikenali sebagai 'Sindiket Anton'.

"Kami masih memburu mereka, saki baki ahli kumpulan ini masih ada dan kita akan terus mengesan mereka," katanya.

Pada 15 September lalu, Bernama melaporkan sindiket berkenaan tumpas susulan dua premis berkaitan kegiatan itu di Sungai Way, Petaling Jaya diserbu dan dalang utama sindiket itu dikenali sebagai 'Anton' berusia 38 tahun dan isterinya, 32, juga warga Indonesia ditahan pada 14 September.

Sindiket itu membuat cap palsu imigresen kepada mana-mana individu yang tinggal lebih masa sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pemilik pasport akan menghantar pasport serta bayaran antara RM150 hingga RM250 bagi setiap cap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 6:17 PM