GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Sebuah tabika terpaksa ditutup susulan kes individu positif Covid-19 mempunyai kontak rapat dengan pengajar dan murid.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, tabika di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) Dungun ditutup sementara berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata, semua guru dan murid sudah menjalani ujian saringan dan mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri sudah melakukan sanitasi di tabika itu pagi tadi.

"Sejak Sabtu lalu, Jabatan Kesihatan negeri merekodkan lapan kes Covid-19 di seluruh negeri dan semua pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, semua pesakit dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk pengasingan dan rawatan.

Menurutnya, individu yang baru pulang dari Sabah atau mana-mana zon merah dalam tempoh 14 hari lalu dinasihatkan hadir ke klinik kesihatan berhampiran untuk penilaian risiko Covid-19.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar kekal tenang dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa mengamalkan norma baharu seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Orang ramai juga diingatkan meningkatkan kawalan kendiri dan tidak merasa selesa atau alpa mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam komuniti serta sentiasa mematuhi prosedur Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan sehingga 31 Disember depan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:59 PM