AWANG Hashim menyampai mock cek kepada penerima bantuan PERKESO di Mini Karnival Penjana Kerjaya sempena sambutan hari PERKESO di  Pusat Khidmat Masyarakat, DUN Jelai, Sungai Koyan. FOTO ROSELAN AB MALEK
AWANG Hashim menyampai mock cek kepada penerima bantuan PERKESO di Mini Karnival Penjana Kerjaya sempena sambutan hari PERKESO di Pusat Khidmat Masyarakat, DUN Jelai, Sungai Koyan. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Lipis: "Kita serah kepada kerajaan untuk berunding dengan kerajaan Amerika Syarikat mengenai dakwaan tidak tepat dan berasas mendakwa industri kelapa sawit kita menggunakan tenaga buruh paksa dan kanak-kanak.

"Mungkin akan ada pertemuan antara kerajaan dengan kerajaan AS untuk tindakan susulan menyelesaikan dakwaan tidak tepat ini," kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.

Beliau mengulas laporan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS menerusi Perintah Pelepasan Tahan (WRO), menyekat semua produk FGV apabila penyiasatan mendapati terdapat penggunaan buruh paksa.

Sebelum itu, beliau berkata, sebanyak 44,662 peluang pekerjaan diwujudkan oleh 65 peratus daripada 13,292 majikan di bawah Program Penjana Kerjaya sehingga 28 September tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 284 pekerja adalah dari golongan orang kurang upaya (OKU) sementara 3,849 membabitkan lepasan universiti dan sekolah.

"Kerajaan tidak mengenepikan golongan mudah terjejas seperti OKU dalam menyalurkan bantuan dan perkhidmatan.

"Penjana Kerjaya adalah inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang menawarkan insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan.

"Kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi Program Penjana Kerjaya yang menawarkan insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan," katanya selepas merasmikan Mini Karnival Penjana Kerjaya sempena sambutan Hari Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jelai, Sungai Koyan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan amat komited dan sentiasa berusaha membantu rakyat terkesan dengan ekonomi semasa, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:40 PM