PISAU pemotong daging yang digunakan dalam pergaduhan dirampas polis. FOTO ihsan polis
PISAU pemotong daging yang digunakan dalam pergaduhan dirampas polis. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Akibat tidak mempedulikan larangan merokok, seorang lelaki cedera di perut akibat dilibas pisau pemotong daging oleh pemilik restoran di Taman Selasih, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pelanggan berusia 51 tahun itu dipercayai sedang makan di premis berkenaan dalam kejadian jam 2.15 petang.

Beliau berkata, pemilik kedai makan berusia 50 tahun itu dikatakan menegur pelanggan berkenaan supaya tidak merokok dalam kawasan restoran namun lelaki itu tidak mengendahkannya.

"Disebabkan itu, berlaku pertengkaran sehingga tercetusnya pergaduhan antara mereka.

"Pemilik kedai itu mengambil pisau lalu melibas lelaki itu dan terkena badannya namun dia hanya mengalami cedera ringan di perut kerana sempat mengelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, orang awam yang berada di situ berjaya meleraikan pergaduhan itu.

Beliau berkata, bagaimanapun kedua-dua mereka ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada jam 5 petang tadi selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan ditahan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Turut dirampas sebilah pisau pemotong daging berukuran 30 sentimeter untuk membantu siasatan," katanya.

Azhar turut mengingatkan pelanggan restoran supaya mematuhi arahan larangan merokok di dalam restoran supaya insiden ini tidak berlaku lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 10:06 PM