BERNAMA

Seremban: Mahkamah Koroner di sini hari ini dimaklumkan dua anjing milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), tidak memperoleh petunjuk positif sepanjang tiga hari pencarian remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, bermula 5 Ogos 2019.

Saksi ke-18 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian gadis itu, pengendali anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur Pegawai Bomba Jackson Ringkai Anak Gawan, 28, berkata, anjing jenis Labrador yang dinamakan 'Buddy' tidak memberi sebarang reaksi positif, sepanjang pencarian di kawasan berhampiran The Dusun Resort.

"Saya mulakan pencarian pertama pada 10.30 pagi 5 Ogos dan tidak menemui petunjuk positif," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid di sini.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Norhafiza Haron yang bertindak sebagai Pegawai Pengendali Inkues mengenai bagaimana anjing kendaliannya memberikan reaksi sekiranya dapat mengesan sesuatu, Jackson berkata, "...sekiranya mengesan sesuatu yang positif dia akan berhenti, memandang dan menyalak."

Sementara itu, ditanya peguam kepada keluarga Nora Anne, S.Sakthyvell sama ada sepanjang pencarian itu, adakah beliau yang memandu arah anjing berkenaan atau sebalik, Jackson berkata, dia hanya mengikut anjing berkenaan.

Sementara itu, saksi ke-19, Pegawai Bomba Ajat Anak Menang, 30, dari unit yang sama, berkata anjing jenis Border Collie yang dinamakan 'Murphy', juga gagal mengesan keberadaan Nora Anne sepanjang carian selama tiga hari bermula 5 Ogos.

Ajat berkata, ketika operasi pencarian dilakukan, beliau dan anjingnya bertindak sebagai pengesah kepada jejak yang dilakukan Jackson, dalam mengesan Nora Anne.

Ditanya Norhafiza, adakah boleh menjejaskan pencarian sekiranya berlaku pertukaran anjing, Ajat berkata, "Ia tidak menjejaskan sekiranya ada bau."

Sementara itu, prosiding inkues akan bersambung pada 19 hingga 23 Oktober dengan saksi daripada polis, bomba dan orang awam akan dipanggil memberi keterangan.

"November kita fokus kepada keluarga Nora Anne," kata Koroner Maimoonah.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lalu sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemui berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya, susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

ANGGOTA Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan misi pencarian di lokasi. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan misi pencarian di lokasi. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 2:58 PM