Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Sedikit lama-lama jadi bukit. Itu antara pegangan seorang gadis yang mengambil upah mengisi jamu di dalam kapsul bagi mencari pendapatan sebagai persiapan untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Nur Fathiah Hasny, 20, nekad tidak mahu mengulangi tindakan sama menolak tawaran ke universiti sebelum ini kerana memikirkan masalah kewangan sebaliknya berusaha walaupun pendapatan yang diperoleh tidak seberapa.

Sedar akan kepentingan ilmu demi merubah masa depan keluarga, anak sulong daripada lima adik beradik itu, tekad menerima tawaran belajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, dalam jurusan Sarjana Muda Pengajian Sunnah dan Pengurusan Maklumat.

Katanya, pendapatan yang diperoleh hanya sekitar RM8 hingga RM20 sehari, tetapi ia tetap nilai besar buatnya untuk dijadikan simpanan walaupun terpaksa menghabiskan masa seharian mengisi jamu demi mengejar cita-cita ke universiti.

"Saya bukan anak orang senang, ibu hanya suri rumah yang ada masanya menerima tempahan membuat ketupat, manakala ayah bekerja buruh dengan pendapatan tidak menentu ditambah pula dia mempunyai sakit saraf yang boleh menyerang bila-bila masa sahaja.

"Sebelum ini saya menolak tawaran ke universiti kerana memikirkan ibu dan ayah yang tiada wang tetapi kali ini saya nekad kerana sedar kepentingan ilmu untuk merubah kehidupan yang lebih baik.

"Sejujurnya, ada masanya saya rasa berputus asa mahu menyiapkan sehingga lebih 1,000 kapsul jamu sehari tetapi tetap kuatkan semangat demi mencari wang malah," katanya ketika ditemui di rumah sewa keluarganya di Taman Rantau Mas, di sini, semalam.

Bagaimana pun, nasib Nur Fathiah mendapat perhatian Yayasan Raja Shamri melalui Thirdforce Rantau Panjang, yang membantu memberi sumbangan kewangan bagi menampung yuran pendaftaran termasuk menyediakan kelengkapan sebelum dia mendaftar pada 15 Oktober nanti.

Nur Fathiah berkata, dia bersyukur kerana Thirdforce banyak membantu dari segi kewangan dan sokongan moral sekali gus, menaikkan lagi semangatnya untuk menyambung pelajaran bagi merubah kehidupan dia sekeluarga.

"Melihat raut wajah ibu dan ayah kadang kala membuat hati sayu, namun saya berjanji kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh selain memohon doa mereka.

"Insya Allah, saya akan memberi yang terbaik bagi memastikan peluang ini digunakan sebaiknya selain berusaha mendapatkan keputusan cemerlang supaya mendapat pekerjaan kelak," katanya.

NUR Fathiah Hasny. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
NUR Fathiah Hasny. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 10:23 AM