Raja Noraina Raja Rahim


Subang Jaya: Polis menahan seorang lelaki yang menyimbah air minuman kepada jurutol seperti tular di media sosial dalam kejadian di Plaza Tol Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan susulan laporan yang dibuat mangsa.

"Kejadian itu berlaku pada 7 pagi semalam ketika mangsa bertugas di Plaza Tol Kesas dari Puchong menghala ke USJ didatangi suspek yang memandu Perodua Bezza masuk ke lorong tol dan mahu membuat tambah nilai.

"Bagaimanapun, mangsa memaklumkan bahawa tambah nilai hanya boleh dibuat di lorong bersebelahan dan suspek ke lorong seperti disyorkan sebelum berlalu pergi.

"Pada 9.05 pagi hari sama, suspek datang semula ke tempat mangsa bertugas dan memarahi serta menyimbah air minuman ke arah mangsa sebelum beredar," katanya menerusi rakaman video PDRM RMP TV.

Risikin berkata, mangsa yang takut dengan ugutan suspek tampil membuat laporan pada 4.25 petang.

"Bertindak atas laporan berkenaan sepasukan polis yang menjalankan siasatan mengesan suspek dan berjaya menahannya," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

FOTO tular menunjukkan rakaman CCTV mengenai kejadian.
FOTO tular menunjukkan rakaman CCTV mengenai kejadian.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup berdurasi 51 saat yang menunjukkan seorang lelaki menaiki kereta Perodua Bezza bertindak keluar sebelum menyimbah air minuman kepada jurutol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 10:24 AM