MOTOSIKAL yang ditunggang mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
MOTOSIKAL yang ditunggang mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin


Slim River: Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar bahagian sisi kanan sebuah treler di Kilometer 104 Jalan Persekutuan, Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Slim River di sini.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis menerima laporan kejadian pada 4.15 petang.

Katanya, ketika kejadian treler yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

"Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang mangsa keluar dari simpang Kampung Balun menghala ke pekan Slim River.

"Ketika keluar dari simpang kampung terbabit, motosikal yang ditunggang mangsa itu terlanggar sisi kanan belakang treler," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Katanya, mangsa terbabit yang parah akibat kemalangan itu disahkan meninggal dunia apabila tiba di hospital.

"kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 12:03 AM