TAN Sri Mohd Zuki Ali. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Mohd Zuki Ali. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, hari ini memaklumkan hasil ujian pengesanan Covid-19 terhadap beliau adalah negatif dan kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya hingga 16 Oktober ini atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya telah menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan Alhamdulillah, keputusannya adalah negatif. Saya akan meneruskan kuarantin kendiri sebagaimana disarankan kerajaan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Mohd Zuki berkata, situasi itu tidak mengganggu urusan pentadbiran perkhidmatan awam kerana beliau akan bekerja dari rumah dan memanfaatkan aplikasi digital dalam pelaksanaan tugas seperti sidang video bagi mesyuarat-mesyuarat yang dipengerusikan atau dihadirinya.

Mohd Zuki menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan kuarantin kendiri selepas seorang ahli mesyuarat yang turut dihadiri beliau pada 3 Oktober lalu disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, beliau mengingatkan ketua jabatan agar memberi pelepasan khas daripada bertugas atau kebenaran bekerja dari rumah kepada pegawai yang disahkan mempunyai simptom jangkitan atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19 seperti dinyatakan dalam Garis Panduan Pengendalian Isu-Isu Berhubung Penularan Jangkitan Wabak Covid-19 di premis kerajaan bertarikh 16 Mac lalu.

Beliau juga menasihati penjawat awam dan petugas barisan hadapan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

"Saya ingin mengajak seluruh penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan untuk terus tabah dan bersemangat dalam memberikan khidmat bakti yang terbaik dalam keadaan yang penuh mencabar ini.

"Patuhi SOP dan budayakan norma baharu sama ada dalam pelaksanaan tugas mahupun kehidupan seharian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 2:10 PM