AHMAD Saidi Hamzah (dua dari kanan) dan Nik Robidin Ab Rahman (tiga dari kiri) melihat SOPCovid-19 pemeriksaan suhu badan penghuni baru yang dijalankan di Penjara Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
AHMAD Saidi Hamzah (dua dari kanan) dan Nik Robidin Ab Rahman (tiga dari kiri) melihat SOPCovid-19 pemeriksaan suhu badan penghuni baru yang dijalankan di Penjara Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: Penjara Marang menjalankan kuarantin wajib ke atas semua penghuni baru yang memasuki penjara bermula semalam susulan peningkatan kes Covid-19.

Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah berkata, pihaknya menyediakan tempat khas untuk menempatkan semua penghuni baru yang dikuarantin.

"Penghuni baru akan diperiksa suhu badan dan mengenal pasti gejala atau simptom terlebih dahulu di luar pintu masuk penjara.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) itu sudah dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diteruskan sehingga hari ini.

"Sebelum ini hanya penghuni yang mempunyai simptom seperti demam dan batuk dikuarantin tetapi sekarang semua penghuni baru diwajibkan kuarantin selama 14 hari sebelum ditempatkan bersama penghuni sedia ada di dalam penjara," katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan SOP Covid-19 di Penjara Marang, Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Penjara Marang Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman dan Pengarah Pusat Koreksional Dungun, Penolong Komisioner Penjara Hamid Taha.

Ahmad Saidi berkata, kuarantin wajib itu dijalankan bagi memastikan keselamatan penghuni sedia ada di penjara daripada dijangkiti Covid-19.

"Apabila mereka diasingkan awal, jangkitan itu dapat dicegah daripada menular di dalam penjara sekiranya ada yang positif Covid-19.

"Kami bimbang dan tidak mahu mengambil risiko kerana pengambilan suhu badan dan hanya melihat simptom sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan seseorang penghuni baru itu negatif Covid-19 kerana sekarang ada kes yang positif tetapi tanpa menunjukkan simptom (asymptomatic )," katanya.

Tambahnya, Penjara Marang antara penjara yang paling sesak kerana jumlah penghuninya melebihi kapasiti asal penjara seterusnya sukar untuk menjalankan SOP termasuk penjarakan sosial di kalangan penghuni.

"Bayangkan kapasiti penghuni di Penjara Marang hanya 1,500 penghuni tetapi jumlah penghuni terkini seramai 2,826 penghuni.

"Sekiranya seorang yang positif Covid-19 dan bergaul bebas dengan penghuni lain di dalam penjara pasti penularan wabak secara meluas akan berlaku.

"Oleh itu, sebelum kejadian tidak diingini berlaku, pihak kami terpaksa memperketatkan penguatkuasaan SOP di penjara," katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memberi kerjasama dan membantu pihak penjara dalam menangani penularan Covid-19 itu.

"Kami berharap ujian calitan Covid-19 disediakan dan dijalankan oleh KKM ke atas semua penghuni baru dan berisiko di semua penjara di negeri ini terutama di Penjara Marang.

"Ujian calitan Covid-19 itu lebih memberi keyakinan berbanding hanya memeriksa suhu badan untuk mengesahkan sama ada penghuni itu positif atau negatif Covid-19 sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 3:00 PM