Zuliaty Zulkiffli

Yan: Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga sebuah sekolah agama persendirian di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar dekat sini, patah rahang selepas ditendang pelajar lain di dewan makan sekolah itu, Ahad lalu.

Akibatnya, mangsa, Muhamad Shukur Mohamad Sobri, 15, mengalami bengkak teruk pada kiri muka selepas rahangnya disahkan patah dan perlu menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Isnin ini.

Muhamad Shukur berkata, pada kejadian jam 12 tengah malam itu, dia dan adiknya, Muhamad Fitri, 13, pergi ke dewan makan selepas tamat kelas sebelum ditendang pada bahagian muka oleh seorang pelajar lain.

"Ketika itu saya baharu hendak menjamah makanan, tiba-tiba seorang pelajar tendang muka sehingga menyebabkan pendarahan.

"Mulut saya kemudiannya terasa kebas sebelum saya terdengar ada bunyi tulang patah ketika cuba membuka mulut.

"Pelajar itu seperti mahu memukul saya lagi, tetapi mujur adik berlari memberitahu kejadian kepada kakak yang bersekolah bersama kami," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Dulang Besar di sini, hari ini.

Muhamad Shukur berkata, kejadian itu dipercayai berpunca akibat salah faham menyebabkan pelajar itu tidak berpuas hati dengannya.

"Ketika kejadian tiada warden berada di dewan makan dan warden hanya mengetahui mengenainya keesokan hari sebelum dimaklumkan kepada guru.

"Saya dan adik pada mulanya merancang merahsiakan kejadian ini, tetapi kakak memaklumkannya kepada bapa di kampung," katanya.

MUHAMAD Fitri (kanan) menunjukkan pipi kiri abangnya, Muhamad Shukur yang patah rahang selepas ditendang pelajar di dewan makan sebuah sekolah agama persendirian di Alor Setar.FOTO Zuliaty Zulkiffli
MUHAMAD Fitri (kanan) menunjukkan pipi kiri abangnya, Muhamad Shukur yang patah rahang selepas ditendang pelajar di dewan makan sebuah sekolah agama persendirian di Alor Setar.FOTO Zuliaty Zulkiffli

Bapa mangsa, Mohamad Sobri Abdul Manaf, 46, berkata, ini bukan kali pertama anaknya dibuli di sekolah berkenaan kerana sebelum ini dia pernah dipukul, namun tidak mengalami kecederaan serius.

Katanya, apa yang dikesalkan apabila pihak sekolah menghubunginya dan memaklumkan anaknya terjatuh daripada tangga menyebabkannya cedera pada rahang.

"Namun anak perempuan saya yang berusia 18 tahun memaklumkan Muhamad Shukur ditendang kerana kecederaan yang dialaminya bukan seperti jatuh tangga.

"Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Yan pada Isnin lalu, dan membawanya ke hospital," katanya.

Mohamad Sobri yang bekerja sebagai nelayan berkata, pihak sekolah juga meminta supaya dia menarik balik laporan namun dia tidak melakukannya kerana mahu tindakan lanjut diambil ke atas pelaku.

"Muhamad Shukur pada mulanya dibawa ke Hospital Yan pada Isnin lalu, sebelum dirujuk ke HSAH Sungai Petani kerana dia perlu menjalani pembedahan membetulkan rahang dan memasukkan besi.

"Pihak sekolah ada memberikan wang untuk digunakan bagi membiaya sebahagian kos rawatan, manakala selebihnya saya tanggung sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 6:32 PM