Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kakitangan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 15 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan peningkatan kes positif Covid-19 membabitkan kluster itu.

"Bagi mengawal penularan wabak ini dalam komuniti dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Penjara Reman Negeri Pulau Pinang dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang daerah Timur Laut, Pulau Pinang bermula 15 Oktober ini.

"Pelaksanaan PKPD ini membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan itu dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan Covid-19," katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan individu terbabit adalah 2,830 orang merangkumi 2,306 banduan, 304 staf penjara dan keluarga yang mendiami kuarters dan 220 staf penjara dan keluarga yang tidak mendiami kuarters.

"Justeru itu, pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan manakala pergerakan kakitangan penjara ditentukan berdasarkan SOP (prosedur operasi standard) yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

"Tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain.

"Sekiranya keputusan ujian adalah negatif, tahanan kemudiannya akan dikuarantin di tempat yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pulau Pinang sebelum dibebaskan," katanya.

Menurutnya, tahanan yang positif akan dirawat di hospital sebagai orang awam selepas tarikh pembebasan mereka.

"Makanan dan keperluan asas akan disalurkan diselaraskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Timur Laut," katanya.

KAKITANGAN memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini. FOTO Danial Saad.
KAKITANGAN memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini. FOTO Danial Saad.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 5:31 PM