KENDERAAN KKM memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini, pada hari pertama PKPD. FOTO Danial Saad
KENDERAAN KKM memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini, pada hari pertama PKPD. FOTO Danial Saad
BERNAMA

Georgetown: Semua kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang, di sini kemungkinan perlu menjalani ujian saringan berikutnya bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19, kata Pengarahnya Mohamed Jusoh Ismail.

Beliau berkata, keputusan ujian saringan kedua Covid-19 terhadap semua kakitangan yang diterima semalam adalah negatif.

"Ujian saringan seterusnya perlu kerana ada dalam kalangan kakitangan penjara yang perlu mengiringi doktor ketika memeriksa banduan disahkan positif dalam pusat rawatan di dalam penjara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak 5 Oktober lalu, Kluster Penjara Reman merekodkan 189 kes dengan 11 kes baharu dicatatkan semalam.

Bermula jam 12.01 tengah malam tadi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang serta kuarters penjara. Selain itu, Mohamed Jusoh berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan ujian saringan terhadap kontak rapat kakitangan penjara terdiri daripada ahli keluarga yang tinggal serumah.

"Setakat ini, kami belum mengetahui punca jangkitan Covid-19 di penjara dan ujian saringan petugas, semuanya negatif. Bagaimanapun, pihak KKM akan terus menjalankan siasatan dan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Berhubung PKPD di penjara dan kuarters, beliau berkata, seramai 220 kakitangan penjara yang tinggal di luar tidak dibenarkan pulang ke rumah dan akan tinggal di kuarters sementara disediakan Jabatan Penjara Malaysia di dalam kawasan PKPD itu.

Katanya, ketika ini semua cuti kira-kira 320 kakitangan penjara itu dibekukan dan pihaknya juga akan memastikan mereka mematuhi arahan ditetapkan terutama prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan PKPD.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemantauan mendapati pelaksanaan PKPD di kawasan terbabit berjalan lancar, namun terdapat ramai pesakit datang ke Klinik Metadon Hospital Pulau Pinang (HPP) yang terletak bersebelahan Penjara Reman Pulau Pinang untuk menerima rawatan. Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama KKM mengenai pengurusan pesakit yang menerima rawatan di klinik metadon berkenaan.

"Saya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya menggunakan jalan alternatif seperti dimaklumkan semalam selepas tiga jalan yang terletak dalam PKPD ditutup kepada lalu lintas, pengguna jalan raya juga diminta memberi kerjasama kepada anggota polis dan trafik yang bertugas," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam kenyataan hari ini berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang memaklumkan SOP ketat dipraktikkan semua pihak terutama Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika pelaksanaan PKPD Penjara Reman Pulau Pinang.

Katanya, pihak berkaitan akan membuat penilaian risiko dan mencadangkan sebarang keperluan lanjut dari semasa ke semasa.

"Setakat ini, menurut pihak polis semua berjalan lancar serta JKNPP juga memaklumkan kluster Penjara Reman dan Penjara Jawi ketika ini hanya membabitkan banduan.

"Saya juga berharap rakyat Pulau Pinang bersama-sama dengan kerajaan negeri dan petugas barisan hadapan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

"Jangan sesekali sebar atau tularkan maklumat tidak sahih hingga mencetuskan panik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19



  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 4:40 PM