Nor Amalina Alias


Bachok: Dua polis termasuk seorang Inspektor cedera diserang sekumpulan lelaki ketika menjalankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dalam kejadian di Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.

Dalam kejadian pada 8.40 malam itu, Inspektor N Indra Nahu, 33, luka di muka apabila ditumbuk dan dicakar, manakala Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Muhd Sukeli, 29, patah jari tangan kanan.

Tuan Hafizuddin berkata, dia cedera ketika cuba menghalang seorang daripada suspek menghentak botol kaca ke kepala Inspektor N Indra.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan pegawainya bersama anggota penguat kuasa lain menjalankan tugas sebelum didatangi kumpulan itu yang bertindak memecahkan botol kaca dan menyerang mereka.

"Sebaik lihat mereka bertindak agresif, kami diarahkan untuk menangkap kumpulan itu namun mereka bertindak menumbuk, mencakar dan cuba mencederakan pegawai menggunakan botol kaca," katanya yang menerima kunjungan Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat di Kampung Perupok di sini, hari ini.

Tuan Hafizuddin berkata, sebaik terkena hentakan botol kaca itu, dia berasa pening dan meminta bantuan anggota lain untuk menahan suspek.

Sementara itu, Shafien berkata, anggotanya ketika itu menjalankan operasi bersama pihak Majlis Daerah Kota Bharu-Bandaraya Islam (MDKB-BRI) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sebuah kedai shisha.

Menurutnya, selepas memperkenalkan diri dan pasukan penguat kuasa menjalankan tugas, mereka diserang sekumpulan lelaki sehingga berlaku pergelutan antara tiga hingga empat minit.

"Dalam pergelutan itu, ada yang cakar pipi, menumbuk dan sebagainya.

"Polis berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 28 tahun termasuk seorang lelaki dipercayai pemilik kedai, seorang lagi rakan mereka berjaya ditangkap pada 3.40 pagi tadi di Machang," katanya.

Beliau berkata, polis masih memburu seorang lagi suspek yang masih bebas.

Menurutnya, seorang daripada penyerang yang ditahan itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Shafein melihat kecederaan dialami Tuan Hafizuddin ketika melawatnya di Kampung Perupok, Bachok hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Shafein melihat kecederaan dialami Tuan Hafizuddin ketika melawatnya di Kampung Perupok, Bachok hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 186 KK kerana mencederakan anggota polis serta menghalang tugas penjawat awam.

"Mereka yang ditahan itu direman empat hari bermula hari ini.

"Kita meminta orang ramai supaya tidak menghalang tugas penjawat awam terutamanya dalam soal mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan pandemik itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 5:14 PM