LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Keluarga Laskar Kanan Mohd Rizal Suberi, 31, belum bersedia memaafkan pemandu wanita yang menyebabkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu maut dalam kemalangan Sabtu lalu.

Isteri Allahyarham Mohd Rizal, Nurul Asyiken Amir, berkata dia dan tiga anaknya masih berada dalam keadaan terkejut dan sedih sehingga memberi kesan emosi mendalam kepada mereka.

"Saya tidak dapat berikan jawapan sama ada kami maafkan pemandu wanita itu kerana sukar mengungkapkan kata-kata itu.

"Anak sulung berusia lima tahun sudah menonton video kereta bapanya dirempuh wanita itu dan kemudian bertanya 'Mama kenapa perempuan itu langgar papa sampai mati.'

"Hati saya hancur. Derita itu hanya saya dan anak yang akan tanggung. Bila awak kata wanita itu minta maaf kepada kami, sukar untuk kami terima," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, pemandu Perodua Myvi berkenaan, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, memohon maaf dan ampun kepada keluarga Allahyarham berikutan kemalangan menyebabkan mangsa maut.

Nur Fatin berkata demikian ketika prosiding di Mahkamah Majistret di sini, hari ini ketika dihadapkan atas tuduhan memandu kereta di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian Mohd Rizal di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Nurul Asyiken yang juga guru agama di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, berkata kejadian berkenaan membuatkan emosi terganggu menyebabkan dia dan anaknya berada dalam kesedihan.

"Saya bukan tidak menerima suratan takdir, namun mengenangkan suami baharu sahaja menyambut hari jadi anak sulung sebelum kejadian itu berlaku, menyebabkan hati ini hancur.

"Kami sekeluarga baru sahaja berkumpul dan gembira bersama, tiba-tiba jadi macam ini. Hati mana tidak sedih," katanya.

Namun, Nurul Asyiken berharap wanita itu insaf dan menyesali perbuatannya selain tidak mengulanginya semula kesalahan sama pada masa depan.

"Saya harap benda ini dijadikan iktibar kepada orang ramai di luar sana supaya berhati-hati ketika memandu kerana sebarang kesilapan membuatkan ada keluarga hilang insan paling mereka sayangi, " katanya.

Berita berkaitan

  • Pemandu Perodua Myvi mohon maaf, ampun
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 5:16 PM