Proses memotong cincin jenis keluli yang gagal ditanggal dari jari seorang lelaki yang menyebabkan jari telunjuk kirinya itu membengkak sejak dua hari lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Proses memotong cincin jenis keluli yang gagal ditanggal dari jari seorang lelaki yang menyebabkan jari telunjuk kirinya itu membengkak sejak dua hari lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Selepas dua hari menahan sakit akibat cincin keluli gagal ditanggalkan dari jari telunjuk, seorang lelaki terpaksa 'menyerah' diri ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, di sini, untuk menanggalkannya.

Lelaki berusia 30 tahun itu datang ke balai bomba berkenaan, pada 7.15 malam tadi dalam keadaan jari telunjuk kiri yang sudah membengkak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I, Nazah Nafi berkata, sebelum itu mangsa menghubungi sebuah klinik bertanyakan sama ada boleh menanggalkan cincin terbabit atau tidak.

"Bagaimanapun, pihak klinik memaklumkan mereka tidak berbuat demikian, selain tidak mempunyai peralatan khas menyebabkan mangsa terus ke balai (bomba).

"Keadaan jari telunjuk kirinya membengkak berikutan sudah dua hari usahanya untuk menanggalkan cincin itu tidak berhasil.

"Anggota kami merendamkan jari mangsa di dalam ais supaya kebas dan mengurangkan rasa sakit ketika proses pemotongan cincin.

"Proses memotong menggunakan alat 'ring cutter' dan mengambil masa kira-kira setengah jam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 1:48 PM