Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Alor Setar disambung 14 hari bermula esok sehingga 1 November ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Alor Setar bermula 5 Oktober sehingga hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini adalah bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 di dalam kawasan itu serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

Penjara Alor Setar. FOTO Arkib NSTP
Penjara Alor Setar. FOTO Arkib NSTP

"Sehingga semalam, terdapat 1,178 kes positif Covid-19 membabitkan 1,137 tahanan dan 41 kakitangan penjara direkodkan.

"Mengambil kira masih terdapat kes positif baharu dan atas permohonan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah serta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka pelaksanaan PKPD di Penjara Alor Setar dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula esok sehingga 1 November 2020," katanya pada sidang media maya, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelanjutan ini bagi membolehkan pelaksanaan pemantauan dan saringan berterusan dalam usaha memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Alor Setar terutamanya dalam kalangan kakitangan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 5:54 PM