CANGKUL yang digunakan suspek untuk mencederakan polis di Kampung Padang Che Mas, Pulai. FOTO Ihsan PDRM
CANGKUL yang digunakan suspek untuk mencederakan polis di Kampung Padang Che Mas, Pulai. FOTO Ihsan PDRM
BERNAMA

Alor Setar: Seorang lelaki yang berang kerana tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas, Baling ditahan selepas cuba mencederakan anggota polis menggunakan cangkul, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, insiden berlaku di rumah suspek ketika anggota polis cuba mendapatkan penjelasan susulan tindakannya yang sebelum itu merakam gambar petugas keselamatan menjalankan tugas di satu sekatan jalan raya di kampung itu.

"Pada kira-kira 10.40 pagi di kawasan sekatan jalan raya diadakan, suspek yang berusia 43 tahun merakam gambar petugas keselamatan di situ kerana marah tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPB.

"Anggota polis kemudian mengekori suspek sehingga ke hadapan rumahnya dan cuba mendapatkan penjelasan mengenai tindakannya mengambil gambar sebelum suspek bertindak memarahi anggota polis berkenaan.

"Suspek kemudian masuk ke dalam rumah dan keluar sambil mengangkat sebatang cangkul dan menuju ke arah seorang anggota polis dan cuba menghayun cangkul itu ke arah anggota terbabit.

"Bagaimanapun, tindakannya tidak berjaya kerana anggota polis lain menyekatnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berlaku pergelutan antara anggota polis dengan suspek sebelum dia ditahan.

Syed Basri berkata, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja kilang bertindak mengambil gambar petugas keselamatan di sekatan jalan raya itu kerana tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan keluar dari kampung itu.

Katanya, suspek tidak tergolong sebagai individu yang mendapat kebenaran untuk keluar dari kawasan PKPB berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 9:30 PM