SEPASANG warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kejadian di Kampung Perawah lewat petang semalam. FOTO ihsan JBPM PERLIS
SEPASANG warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kejadian di Kampung Perawah lewat petang semalam. FOTO ihsan JBPM PERLIS
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Hasrat pasangan warga emas mendiami kediaman baru tidak kesampaian apabila rumah yang masih dalam proses pengubahsuaian musnah dalam kebakaran di Kampung Perawah, di sini, semalam.

Lebih menyayat hati, rumah yang diubahsuai hasil bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu sudah 80 peratus siap.

Dalam kejadian pada 7 malam itu, rumah didiami Hassan Ali, 70 dan Rosna Ismail, 60, terbakar 90 peratus.

Anak mangsa, Roszaliza Hassan, 39 berkata, ketika kejadian, ibu, ayah, adik perempuan serta anaknya sedang memasak kuih untuk dijual di dapur.

"Kebakaran hanya disedari apabila seorang pelanggan yang ke rumah mereka memaklumkan ternampak api pada kotak suis utama sebelum merebak ke seluruh bahagian atas rumah.

"Apabila ayah naik ke ruangan atas, api sudah marak dan dia nekad terjun ke halaman rumah untuk menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Roszaliza berkata, ibu bersama adik perempuan dan anak saudaranya turut keluar dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang kerana api marak dengan cepat.

"Mereka tidak sempat menyelamatkan barangan berharga, malah wang simpanan adik lelaki berjumlah RM2,000 hangus.

"Lebih menyedihkan beruk kesayangan adik juga turut rentung," katanya.

Katanya, ketika ini kesemua mereka menumpang di surau Kampung Perawah buat sementara waktu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengawal kebakaran dengan kekuatan 13 anggota.

"Tiga jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan pacuan empat roda turut dikerahkan ke tempat kejadian.

"Api terkawal sepenuhnya pada jam 7.48 malam, dan kediaman itu musnah 90 peratus, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 4:40 PM