DUA buah rumah panjang di Sibu musnah dalam kebakaran petang hari ini. FOTO MELVIN JONI
DUA buah rumah panjang di Sibu musnah dalam kebakaran petang hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Sibu: Dua rumah panjang membabitkan 48 pintu yang dihuni kira-kira 40 keluarga di Pasai Siong Tengah di sini musnah terbakar, hari ini.

Kebakaran yang berlaku pada 1.54 tengah hari itu turut memusnahkan 15 motosikal, tiga kereta, sebuah lori dan sebuah van.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah Suna Kaha berkata, kebakaran rumah panjang itu membabitkan Rumah Jelian dan Langi.

Katanya, sebanyak 28 pintu di Rumah Jelian yang terjejas akibat kebakaran itu dan 20 pintu lagi membabitkan Rumah Langi.

"Kemusnahan akibat kebakaran adalah 80 peratus. Kebakaran berpunca daripada Rumah Jelian sebelum merebak ke Rumah Langi yang mempunyai 21 pintu, hanya sebuah kediaman terselamat.

"Jarak di antara kedua-dua rumah panjang terbabit lebih kurang tiga meter," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Suna berkata, kebakaran berjaya dikawal lebih pada 3.05 petang oleh anggota dari BBP Sungai Merah dengan bantuan BBP Sibu.

Katanya, tiada penduduk yang dilaporkan cedera dalam kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 8:28 PM