Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu : Seorang tauke shisha bersama dua pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian Rabu lalu.

Tertuduh, Mohamad Nornasharieq Rosli, 28, dan pembantu kedai makan berkenaan, Mohamad Hamiri Asraf Ab Hamid, 24, serta Mohammad Nor Aizaq Rosli, 25, (adik Nornasharieq) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mereka didakwa secara berasingan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli dan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Nornasharieq didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Muhd Sekuli sehingga menyebabkan cedera tulang tangan di sebuah bistro di Lembah Sireh di sini pada 8.15 malam, 14 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Nornasharieq didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada pegawai polis, Indrah Nahu dengan cara menumbuk dan mencakar muka sehingga mengalami kecederaan pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula 16 November depan.

Sementara itu, Mohamad Hamiri Asraf dan Mohammad Nor Aizaq turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersama-sama menghalang tugas penjawat awam dengan menghalang pihak polis daripada membuat tangkapan terhadap Mohamad Nornasharieq.

SEORANG tauke shisha (tengah) dan pembantu kedai makan (kiri) serta Mohammad Nor Aizaq Rosli, 25, (kanan) di hadapakan ke Mahkamah Majistret selepas tidak mengaku bersalah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEORANG tauke shisha (tengah) dan pembantu kedai makan (kiri) serta Mohammad Nor Aizaq Rosli, 25, (kanan) di hadapakan ke Mahkamah Majistret selepas tidak mengaku bersalah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Akta Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka dibenarkan untuk diikat jamin masing-masing RM4,000 dan kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 24 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 7:15 PM