Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki maut manakala isteri parah apabila kereta dinaiki pasangan terbabit dipercayai terbabas lalu terjatuh di laluan bertingkat (flyover) di Jalan Kepayan, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam ini.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun yang tersangkut di tembok flyover disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isterinya berusia 35 tahun yang dipercayai terjatuh bersama kereta parah dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai kemalangan itu bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga.

"Kereta berkenaan dipercayai terbabas sebelum melanggar tembok jalan lalu terjatuh ke bawah 'flyover' KKIA.

"Mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala isterinya dibawa menaiki ambulans ke HQE II," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Habibi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

POLIS memeriksa lokasi kejadian dan (gambar kecil) bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersangkut di flyover. FOTO Mohd Adam Arinin
POLIS memeriksa lokasi kejadian dan (gambar kecil) bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersangkut di flyover. FOTO Mohd Adam Arinin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 11:56 PM