KAKITANGAN Hotel Permai bergotong-royong membaik pulih rumah Mohd Nazli yang dihempap pokok rambutan, Jumaat lalu. FOTO ihsan HOTEL PERMAI
KAKITANGAN Hotel Permai bergotong-royong membaik pulih rumah Mohd Nazli yang dihempap pokok rambutan, Jumaat lalu. FOTO ihsan HOTEL PERMAI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Walaupun kejadian itu berlaku Jumaat lalu, perasaan trauma akibat kejadian itu masih menghantui saya sekeluarga sampai sekarang," kata Mohd Nazli Abd Rahman.

Mohd Nazli, 45, ditemui pada Program Gotong-Royong Membaiki Rumah dan Penyerahan Sumbangan Kelab Sukan dan Rekreasi Hotel Permai (KSRHP) di rumahnya di Kampung Buluh Gading, di sini, semalam.

Rumahnya dihempap pokok rambutan dipercayai selepas dipukul kepala angin pada 9.20 malam Jumaat lalu.

Katanya, sebelum kejadian dia bersama isteri, Zalina Ali, 41, dan dua anaknya, Nur Syahila Mohd Nazli,17, dan Nur Syazaitul Amira, 16, sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah mereka.

"Tiba-tiba hujan lebat serta ribut dan petir berlaku menyebabkan kami berasa bimbang dan mematikan televisyen.

"Tidak lama selepas itu bunyi angin kencang seakan-akan kepala angin sebelum terdengar dahan pokok patah dan menghempap bahagian dapur rumah kami.

"Bergegar seluruh rumah akibat kejadian itu dan bekalan elektrik terputus menyebabkan kami sekeluarga panik dan cuba keluar dari rumah," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, pintu utama rumah tidak boleh dibuka kerana struktur rumah terjejas kesan daripada dihempap pokok rambutan itu.

Katanya, selepas lima minit berusaha, mereka berjaya keluar sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang datang memotong dahan dan pokok yang menghempap rumah mereka.

"Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Buluh Gading menyerahkan sumbangan atap dan peralatan yang diperlukan manakala Hotel Permai membantu memasangnya secara bergotong-royong.

"Bantuan wang tunai dan barangan dapur diterima daripada Hotel Permai selain turut dikunjungi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim.

Pada majlis itu, Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman dan Pengerusi KSRHP, Azimah Ishak menyerahkan sumbangan kepada Mohd Nazli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 12:29 PM