HELEN Clark. FOTO Facebook Malaysian Global Innovation and Creativity Centre´╗┐
HELEN Clark. FOTO Facebook Malaysian Global Innovation and Creativity Centre´╗┐
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Tindakan tidak teragak-agak kerajaan New Zealand dalam menghentikan penularan pandemik Covid-19 sejak awal menyaksikannya antara negara terbaik dalam Indeks Pemulihan Covid-19 Global ketika ini.

Bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark, berkata, ketika pandemik Covid-19 mulai menular di seluruh dunia dengan pusat jangkitan ketika itu berada di China, New Zealand membuat keputusan untuk menutup sempadan negaranya seawal Februari.

Beliau berkata, berbeza dengan kebanyakan negara, New Zeland bernasib baik kerana tidak mempunyai sempadan daratan, justeru memudahkan keputusan untuk menutup sempadan antarabangsanya.

"Sejak awal Februari kami tidak membenarkan perjalanan dari China dan bukan kami saja yang melakukannya. Sudah tentu keputusan itu tidak begitu popular dengan Beijing. Pada bulan sama kami juga tidak lagi membenarkan perjalanan dari Iran. Pada awal Mac, pusat jangkitan berpindah ke Eropah dari China dan Asia Timur.

"Dengan kepemimpinan Perdana Menteri Jacinda Ardern serta Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand yang mempunyai latar belakang kesihatan awam yang kukuh, mereka enggan menggunakan pelan pandemik deman selesema (flu) yang dirasakan tidak boleh digunakan untuk menangani Covid-19," katanya pada sesi persidangan maya E-Nation bertajuk Protecting the World from Future Pandemics tadi.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, sebagai moderator pada program anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

Clark berkata, keputusan itu dibuat berikutan Covid-19 mengancam kelompok berisiko tinggi yang mempunyai masalah kesihatan serta warga emas.

Beliau berkata, demografik itu mewakili kelompok besar dalam kalangan populasi negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia dan negara berpendapatan tinggi seperti New Zealand.

Katanya, kerajaan New Zeland kemudian meningkatkan langkah yang perlu diambil menjelang 22 Mac sebelum memperkenalkan peringkat tahap kecemasan dan kemudiannya melaksanakan penutupan sepenuhnya yang lebih ketat yang menghalang semua pihak kecuali rakyatnya serta penduduk tetap daripada memasuki negara itu.

"Sejak itu New Zealand berjaya menghentikan jangkitan daripada penularan pertama dan selama 102 hari tidak mempunyai kes baharu, Kemudian kami mempunyai beberapa kes sporadik di sempadan kerana masih ada rakyat dan penduduk tetap yang memasuki negara dan sesetengah mereka sudah dijangkiti selain di pelabuhan dan nelayan yang bekerja di atas kapal nelayan New Zealand.

"Apa yang kami lalukan ialah langkah kesihatan awam klasik iaitu kami melaksanakan ujian saringan menyeluruh dan pengesanan kontak bagi mererka yang dijangkiti.

"Sesiapa saja yang dijangkiti, mereka yang positif menjalani kuaratin manakala kontak rapat diasingkan," katanya.

Beliau berkata, rakyat negara itu akur dengan tindakan berkenaan kerana mereka sedar cara itu membolehkan kehidupan mereka kembali normal.

Pada masa sama, Clark berkata, ketokohan pemimpin wanita seperti Ardern, Canselor Jerman, Angela Merkel serta empat Perdana Menteri wanita di negara Skandinavia yang sangat bersimpati dengan kehidupan rakyat, memungkinkan kepada kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan langkah-langkah yang diambil.

Beliau berkata, pemimpin berkenaan tidak mendengar suara-suara yang mengekang tindakan membabitkan keselamatan dan kesihatan serta kebajikan rakyat dalam melaksanakan rancangan menangani Covid-19.

Katanya, pemimpin terbabit dan mana-mana pemimpin lelaki yang mengambil pendekatan sama, menyedari dan menerima nasihat bahawa jika rancangan kesihatan awam gagal, ia akan menyumbang kepada masalah dan kesan ekonomi yang lebih besar.

"Mereka juga mendengar nasihat dan maklumat saintifik dan kesihatan awam, merkea menimbangkannya dan membuat keputusan berdasarkan kepada nasihat itu.

"Ia adalah perkara yang penting, kerana untuk berkomunikasi dengan rakyat, pemimpin perlu mempunyai telus mengenai apa yang mereka tahu atau tidak tahu, apa nasihat yang terbaik.

"Sepanjang tujuh minggu New Zealand melalui 'lockdown', Perdana Menteri kami muncul di televisyen pada jam 1 tengah hari sekurang-kurangnya enam hari seminggu, memaklumkan kepada rakyat bahawa beliau sentiasa ada untuk rakyat dan mengumumkan apa langkah yang diambil kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 4:58 PM