GAMBAR kakitangan kesihatan membawa individu didakwa pesakit Covid-19 tular di media sosial, tetapi lelaki berkenaan disahkan mengalami sakit dada ketika makan di restoran. FOTO ihsan pembaca.
GAMBAR kakitangan kesihatan membawa individu didakwa pesakit Covid-19 tular di media sosial, tetapi lelaki berkenaan disahkan mengalami sakit dada ketika makan di restoran. FOTO ihsan pembaca.
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Kejadian lelaki diusung petugas kesihatan lengkap memakai Pakaian Pelindung Diri (PPE) di Restoran DJ Nasi Kandar Lumut di sini, kelmarin, bukan pesakit Covid-19, seperti tular di media sosial.

Pemilik restoran berkenaan, Dulkibali Jamaludin, 45, berkata, sebaliknya mangsa berusia 50-an itu mengadu sakit dada ketika dia bersama isteri dan anak mereka menjamu selera di restorannya.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 1.30 tengah hari dan isteri mangsa meminta bantuan pekerja restoran menghubungi pasukan perubatan.

"Dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini, kita sedia maklum prosedur operasi standard (SOP) dan petugas datang dengan memakai PPE, tetapi pihak tidak bertanggungjawab mendakwa ia berlaku kerana wabak itu.

"Mereka memuat naik dan berkongsi gambar di media sosial tanpa pengesahan kejadian sebenar hingga menyebabkan pengunjung takut datang ke Lumut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, penularan gambar itu menyebabkan pelanggan takut datang ke restorannya dan turut menjejaskan peniaga lain, malah Lumut agak lengang ketika ini tidak seperti selalu.

"Saya terkilan kerana gambar itu ditularkan tanpa maklumat tepat, sepatutnya dalam situasi ketika ini, ia tidak berlaku kerana akan menyebabkan panik dan kebimbangan ramai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kehadiran kakitangan hospital lengkap memakai PPE adalah mengikut SOP susulan wabak Covid-19.

"Pelanggan dikatakan mengadu sakit dada sebelum ambulans datang ke restoran itu untuk membawanya ke hospital.

"Bagaimanapun, polis tidak menerima laporan kejadian itu daripada pihak berkenaan," katanya.

Nor Omar berkata, tindakan menyebarkan berita palsu boleh diambil mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, satu gambar menunjukkan kakitangan kesihatan menolak seorang individu didakwa pesakit Covid-19 tular sejak semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 2:14 PM