Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Belum ada ubat yang berkesan boleh mengubati Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sehingga kini, semua pihak di dunia sedang berusaha bagi mendapatkan ubat yang berkesan mengubati virus berkenaan.

"Kita menyedari ramai pihak yang membuat dakwaan kononnya ubat termasuk dalam bentuk makanan dikatakan dapat mengubati jangkitan Covid-19.

"Namun, setakat ini tiada mana-mana ubat yang berkesan termasuk yang kita (pihak KKM) guna pakai sekarang.

"Jika ada ubat yang boleh merawat Covid-19, pasti pihak yang menghasilkannya sudah menjadi kaya kerana satu dunia sedang mencari penawar kepada virus ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.


Mengulas mengenai pemakaian pelitup muka bagi wanita yang berpurdah, Dr Noor Hisham berkata, individu terbabit disarankan untuk memakai pelitup muka, selain memakai purdah.

Menurutnya, KKM menggariskan dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi membendung penularan Covid-19 selaras keputusan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos lalu.

"Yang pertama adalah pelitup muka perubatan seperti tiga lapis digunakan oleh petugas kesihatan dan orang awam mengalami gejala saluran pernafasan, golongan berisiko tinggi seperti warga emas serta mereka yang menghidap penyakit kronik.

"Selain itu, orang ramai dibenarkan memakai pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik. Dalam isu wanita berpurbah, KKM menyarankan mereka memakai pelitup muka di bahagian dalam kerana satu lapisan kain purdah tidak cukup untuk menghalang penularan jangkitan Covid-19," katanya.

DR NOOR Hisham pada sidang media harian situasi terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA
DR NOOR Hisham pada sidang media harian situasi terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 7:39 PM